Sejak masuk ke meja rencana ne, masa sentiasa terisi dan hati ada sedikit gumbira, lega dan segalanya. Banyak yg nak ditulis n diluahkan, tp masa amat mencemburui.
Hari ni story saya tentang leatherman dah kuar kat Berita Harian.. jadi post je lah story tu kat sini. ada masa saya akan update mcm2 cite lg ttg kehidupan kami yg tak seberapa neh..

LEATHERMAN DAN PERSAHABATAN
Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) — Mohd Noor Mohammad hanyalah seorang yang
meminati kerja-kerja pertukangan kayu sejak zaman mudanya lagi.
Dari minat tersebut, beliau telah membina sendiri perabot seperti rak dapur,
meja komputer dan hiasan dinding yang kini menghiasi terataknya di Jalan Peel di
sini.
Gergaji, playar, pisau dan pelbagai peralatan pertukangan umpama sahabat
setia yang menjadi penyambung antara idea dan hasil kerja tangannya. Daripada
minat tersebut, Mohd Noor yang adalah pesara swasta mula menyimpan pelbagai
koleksi alat pertukangan termasuk alatan pelbagai guna bagi memudahkan
kerja-kerja bertukang.
Sebut saja keluaran terbaru yang berada di pasaran, pasti akan diusahakan
untuk memilikinya walaupun harganya agak mahal.
Biarpun memiliki pelbagai koleksi alat pelbagai guna, namun jenama
Leatherman yang paling bermakna dan dekat di hatinya.
Bukan kerana ia satu jenama terkenal yang menjadi pilihan terutama di
kalangan peminat aktiviti luar dan lasak seluruh dunia namun baginya ia lebih
daripada itu. Baginya Leatherman adalah lambang pertalian persahabatan yang
terbina sejak 21 tahun lepas.

MULA BERKENALAN

Mohd Noor berkata beliau mula mengenali Tim Leatherman, Presiden Leatherman
Tool Group Inc yang juga pengasas alat pelbagai guna Leatherman melalui satu
risalah yang dibacanya sekitar tahun 1989.
Tertarik dengan produk Pocket Survival Tool (PST) keluaran terawal
Leatherman, beliau terus mendapatkannya dengan harga RM265.00 di sebuah pusat
membeli-belah di ibu negara.
Setelah mendapatkan produk tersebut, beliau merasakan gajet tersebut amat
bagus namun ada kekurangannya.
“Saya terus merungut apabila saya dapati alat pelbagai guna itu tidak
lengkap, kerana tidak ada gergaji kecil pada alat tersebut yang sangat berguna
kepada tukang kayu seperti saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Bertitik tolak daripada kekurangan tersebut, pada 2 Okt 1989, Mohd Noor
bertekad untuk mengutus surat kepada Leatherman berdasarkan alamat yang
diperoleh daripada kotak alat pelbagai guna yang dibeli.
Dalam surat itu katanya, beliau menyatakan perlunya sedikit penambahbaikan
pada PST dengan mencadangkan supaya memasukkan satu lagi alatan iaitu pisau
bergergaji agar dapat digunakan untuk memotong kayu.
“Saya sebenarnya kagum dengan usaha Leatherman di mana idea untuk
menghasilkan alat pelbagai guna ini datang ketika dia dan isterinya mengembara
ke Eropah dan Asia Barat pada tahun 1975.
“Pada ketika itu, mereka sering mengalami kerosakan kereta dan sistem paip
hotel sering bocor membuatkan beliau terfikir untuk mereka bentuk alat pelbagai
guna yang senang dibawa ke mana-mana.
“Tapi saya merasakan alatan tersebut masih tidak cukup, kalau ada gergaji
kecil lagi lengkap dan mudah untuk membuat kerja pertukangan dan pembaikan,”
katanya.

SURAT PERTAMA

Selepas lebih tiga minggu surat yang dihantar kepada Leatherman, bapa kepada
empat orang anak lelaki itu dikejutkan dengan kehadiran sebuah sampul surat
berwarna coklat yang tertulis perkataan Leatherman.
Surat bertarikh 18 Okt 1989 itu menghuraikan perasaan terima kasih dan
penghargaan Leatherman atas cadangan Mohd Noor dan menerima dengan hati terbuka
kekurangan yang dimiliki pada produk keluaran syarikatnya.
“Saya terkejut bila dapat surat itu dan terharu apabila kandungan surat itu
menyatakan yang pihaknya akan mengambil maklum tentang cadangan saya,” katanya
“Saya juga tidak menyangka seorang Presiden sebuah syarikat antarabangsa
sudi menerima kritikan tentang produknya dan meluangkan masa untuk membalas
surat daripada penggunanya,” katanya.
Bermula dari surat pertama itu, katanya, mereka terus berutus surat dan
menjadi sahabat pena.
Setiap surat yang dihantar ditaip kemas dan disimpan setiap salinan yang
dihantar dan balasan yang diterima daripada Leatherman.
Apa yang menarik tentang Leatherman katanya, beliau sangat menghargai dan
menghormati tiap pandangan yang diberikan oleh orang lain, termasuk dirinya dan
sanggup meluangkan masa dengan menaip sendiri surat tersebut walaupun beliau
mempunyai pembantu dan setiausaha.
Katanya sepanjang berutus surat, pelbagai perkara diperkatakan yang tidak
hanya tertumpu kepada soal produk Leatherman tetapi turut bertanya khabar dan
peribadi masing-masing.
“Ada juga kami bertanyakan hal-hal politik dunia dan dia juga amat berminat
membincangkan mengenai perkara itu.
“Kebiasaannya kalau saya tidak mengutus surat pada tempoh yang lama, Tim
akan mengirim surat kepada saya dan tanya kenapa saya senyap, begitu juga
sebaliknya, itu yang mengeratkan lagi perhubungan unik ini,” katanya yang
menerima surat terbaru dari Leatherman yang bertarikh 7 April lepas.

CADANGAN DIGUNA PAKAI

Pada Ogos 1995, Mohd Noor menerima sepucuk lagi surat daripada Leatherman
yang memaklumkan syarikatnya telah menghasilkan model terbaru yang dinamakan
Super Tool dengan melakukan penambahbaik model yang sedia ada termasuk menambah
gergaji mini seperti mana yang pernah dicadangkan oleh Mohd Noor sebelum ini.
Dalam surat itu katanya, Leatherman memaklumkan penambahan gergaji mini pada
model terbaru Super Tool adalah yang pertama dalam sejarah alat pelbagai guna
yang dihasilkan syarikatnya setelah beberapa tahun kajian dan melakukan
prototaip.
“Bersama surat itu juga Leatherman turut menghadiahkan saya model Super Tool
tersebut yang menurutnya telah membuka lembaran baru kepada model-model
Leatherman seterusnya dengan menambah alatan gergaji yang mana kekuatannya
hampir sama dengan gergaji besar,” katanya.
“Pasti saya rasa terharu apabila cadangan daripada surat pertama yang saya
kirimkan dulu, akhirnya direalisasikan bersama-sama model Leatherman yang kini
sebanyak 46 jenis dipasarkan di 82 buah negara,” katanya.
Leatherman, yang berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari University of
Oregon State, Amerika Syarikat datang ke Malaysia pada Febuari lepas turut
mengakui perkara tersebut kepada media tempatan.
Beliau memaklumkan tertarik dengan idea Mohd Noor dan memikirkan secara
serius idea tersebut sebelum membuat kajian dan prototaip sehinggalah berjaya
menambah gergaji mini pada gajet yang dihasilkan.

PERTEMUAN PERTAMA

Setelah sekian lama hanya berutus surat, pada 17 Feb lepas, Mohd Noor
berpeluang bertemu empat mata dengan Leatherman yang kebetulan datang ke
Malaysia atas urusan perniagaan.
Beliau dijemput Leatherman dan isterinya, Chau Leatherman yang berasal dari
Vietnam secara peribadi untuk makan malam secara tertutup di sebuah hotel di ibu
negara.
“Melihat beliau secara personal sangat mengejutkan, kerana beliau seorang
yang sangat ringkas, malah ada yang menyangka beliau adalah pelancong kerana
pakaiannya seperti “back packers”.
“Saya menggambarkan beliau sebagai seorang Pengerusi syarikat antarabangsa
yang terkenal, tentunya mempunyai perwatakan seperti tokoh koporat yang biasa
kita lihat, namun dia sebaliknya,” katanya tersenyum.
Selain kurang berkata-kata, beliau seorang yang sangat menghormati orang
lain dan cukup merendah diri, ujarnya yang turut membawa isterinya, Norsiah
Hashim dalam pertemuan tersebut.
Walaupun tidak banyak yang dibualkan pada pertemuan pertama itu namun cukup
memberi makna buat diri Mohd Noor dan ahli keluarganya yang mengikuti perjalanan
persahabatan mereka.
“Saya kongsikan pengalaman ini kerana percaya tidak ramai mereka yang
terlibat dan berjaya dalam bidang perniagaan mempunyai sikap seperti Leatherman,
yang menghargai dan menerima baik cadangan dan kritikan yang diberikan oleh
pengguna produknya.
“Perkara yang baik patut kita jadikan contoh kerana ia tidak merugikan,”
katanya mengakhiri perbualan.
— BERNAMA

Advertisements