-bicara-lara-jiwa-kurnia-

Monthly Archives: May 2011

Ini adalah sebahagian story yang dihasilkan dan di pick up oleh Utusan Malaysia semalam….,  Masih terbayang-bayang emosi saya ketika menyudahkan rencana tentang isu pemerdagangan kanak-kanak ini.  Perasaan saya sangat bercelaru bila teringatkan derita kanak-kanak  yang menjadi hamba seks sejak kecil setelah menjadi mangsa pemerdagangan.  Kisah benar yang dikongsikan oleh Dr Hartini membuatkan  saya insaf  bahawa  masih  banyak kisah dalam dunia gelap yang tidak di dedahkan. Masih banyak derita yang tidak kita kongsikan. Ia membuatkan saya terfikir bahawa  dalam kita asyik memikirkan  yang  terbaik keluarga, diri   dan  anak-anak  terutama  soal pendidikan, pakaian dan sebagainya… ada kanak-kanak yang  menanggung derita tak sudah, didera emosi dan fizikal, diperdagangkan umpama barangan tak bernyawa  dan dijadikan hamba pemuas nafsu serakah manusia yang zalim.  apalah dosa anak-anak itu diperlakukan sebegitu kejam,  dengan  kudrat yang ada apalah yang mempu dilakukan mereka  untuk menolak dan menghalang terus diperlakukan sebegitu.. semuanya yang bermain difikiran  hingga membuatkan sya menitiskan air mata memikirkannya. Sebagai penulis.. mungkin ini saja cara yang mampu dilakukan untuk mendedahkan senario yang sebenar kepada masyarakat agar mereka faham hakikat sebenar yang dihadapi oleh kanak-kanak di negara ini.

Kanak-kanak dari negara miskin sering menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

LINA (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran.

Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.

Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya.

Dia, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil ‘uncle’, tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita.

Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.

Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat. Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.

Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.

Kenapa kanak-kanak?

Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

“Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka.

“Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya.

“Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul.

Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain. – BERNAMA


Sejak masuk ke meja rencana ne, masa sentiasa terisi dan hati ada sedikit gumbira, lega dan segalanya. Banyak yg nak ditulis n diluahkan, tp masa amat mencemburui.
Hari ni story saya tentang leatherman dah kuar kat Berita Harian.. jadi post je lah story tu kat sini. ada masa saya akan update mcm2 cite lg ttg kehidupan kami yg tak seberapa neh..

LEATHERMAN DAN PERSAHABATAN
Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) — Mohd Noor Mohammad hanyalah seorang yang
meminati kerja-kerja pertukangan kayu sejak zaman mudanya lagi.
Dari minat tersebut, beliau telah membina sendiri perabot seperti rak dapur,
meja komputer dan hiasan dinding yang kini menghiasi terataknya di Jalan Peel di
sini.
Gergaji, playar, pisau dan pelbagai peralatan pertukangan umpama sahabat
setia yang menjadi penyambung antara idea dan hasil kerja tangannya. Daripada
minat tersebut, Mohd Noor yang adalah pesara swasta mula menyimpan pelbagai
koleksi alat pertukangan termasuk alatan pelbagai guna bagi memudahkan
kerja-kerja bertukang.
Sebut saja keluaran terbaru yang berada di pasaran, pasti akan diusahakan
untuk memilikinya walaupun harganya agak mahal.
Biarpun memiliki pelbagai koleksi alat pelbagai guna, namun jenama
Leatherman yang paling bermakna dan dekat di hatinya.
Bukan kerana ia satu jenama terkenal yang menjadi pilihan terutama di
kalangan peminat aktiviti luar dan lasak seluruh dunia namun baginya ia lebih
daripada itu. Baginya Leatherman adalah lambang pertalian persahabatan yang
terbina sejak 21 tahun lepas.

MULA BERKENALAN

Mohd Noor berkata beliau mula mengenali Tim Leatherman, Presiden Leatherman
Tool Group Inc yang juga pengasas alat pelbagai guna Leatherman melalui satu
risalah yang dibacanya sekitar tahun 1989.
Tertarik dengan produk Pocket Survival Tool (PST) keluaran terawal
Leatherman, beliau terus mendapatkannya dengan harga RM265.00 di sebuah pusat
membeli-belah di ibu negara.
Setelah mendapatkan produk tersebut, beliau merasakan gajet tersebut amat
bagus namun ada kekurangannya.
“Saya terus merungut apabila saya dapati alat pelbagai guna itu tidak
lengkap, kerana tidak ada gergaji kecil pada alat tersebut yang sangat berguna
kepada tukang kayu seperti saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Bertitik tolak daripada kekurangan tersebut, pada 2 Okt 1989, Mohd Noor
bertekad untuk mengutus surat kepada Leatherman berdasarkan alamat yang
diperoleh daripada kotak alat pelbagai guna yang dibeli.
Dalam surat itu katanya, beliau menyatakan perlunya sedikit penambahbaikan
pada PST dengan mencadangkan supaya memasukkan satu lagi alatan iaitu pisau
bergergaji agar dapat digunakan untuk memotong kayu.
“Saya sebenarnya kagum dengan usaha Leatherman di mana idea untuk
menghasilkan alat pelbagai guna ini datang ketika dia dan isterinya mengembara
ke Eropah dan Asia Barat pada tahun 1975.
“Pada ketika itu, mereka sering mengalami kerosakan kereta dan sistem paip
hotel sering bocor membuatkan beliau terfikir untuk mereka bentuk alat pelbagai
guna yang senang dibawa ke mana-mana.
“Tapi saya merasakan alatan tersebut masih tidak cukup, kalau ada gergaji
kecil lagi lengkap dan mudah untuk membuat kerja pertukangan dan pembaikan,”
katanya.

SURAT PERTAMA

Selepas lebih tiga minggu surat yang dihantar kepada Leatherman, bapa kepada
empat orang anak lelaki itu dikejutkan dengan kehadiran sebuah sampul surat
berwarna coklat yang tertulis perkataan Leatherman.
Surat bertarikh 18 Okt 1989 itu menghuraikan perasaan terima kasih dan
penghargaan Leatherman atas cadangan Mohd Noor dan menerima dengan hati terbuka
kekurangan yang dimiliki pada produk keluaran syarikatnya.
“Saya terkejut bila dapat surat itu dan terharu apabila kandungan surat itu
menyatakan yang pihaknya akan mengambil maklum tentang cadangan saya,” katanya
“Saya juga tidak menyangka seorang Presiden sebuah syarikat antarabangsa
sudi menerima kritikan tentang produknya dan meluangkan masa untuk membalas
surat daripada penggunanya,” katanya.
Bermula dari surat pertama itu, katanya, mereka terus berutus surat dan
menjadi sahabat pena.
Setiap surat yang dihantar ditaip kemas dan disimpan setiap salinan yang
dihantar dan balasan yang diterima daripada Leatherman.
Apa yang menarik tentang Leatherman katanya, beliau sangat menghargai dan
menghormati tiap pandangan yang diberikan oleh orang lain, termasuk dirinya dan
sanggup meluangkan masa dengan menaip sendiri surat tersebut walaupun beliau
mempunyai pembantu dan setiausaha.
Katanya sepanjang berutus surat, pelbagai perkara diperkatakan yang tidak
hanya tertumpu kepada soal produk Leatherman tetapi turut bertanya khabar dan
peribadi masing-masing.
“Ada juga kami bertanyakan hal-hal politik dunia dan dia juga amat berminat
membincangkan mengenai perkara itu.
“Kebiasaannya kalau saya tidak mengutus surat pada tempoh yang lama, Tim
akan mengirim surat kepada saya dan tanya kenapa saya senyap, begitu juga
sebaliknya, itu yang mengeratkan lagi perhubungan unik ini,” katanya yang
menerima surat terbaru dari Leatherman yang bertarikh 7 April lepas.

CADANGAN DIGUNA PAKAI

Pada Ogos 1995, Mohd Noor menerima sepucuk lagi surat daripada Leatherman
yang memaklumkan syarikatnya telah menghasilkan model terbaru yang dinamakan
Super Tool dengan melakukan penambahbaik model yang sedia ada termasuk menambah
gergaji mini seperti mana yang pernah dicadangkan oleh Mohd Noor sebelum ini.
Dalam surat itu katanya, Leatherman memaklumkan penambahan gergaji mini pada
model terbaru Super Tool adalah yang pertama dalam sejarah alat pelbagai guna
yang dihasilkan syarikatnya setelah beberapa tahun kajian dan melakukan
prototaip.
“Bersama surat itu juga Leatherman turut menghadiahkan saya model Super Tool
tersebut yang menurutnya telah membuka lembaran baru kepada model-model
Leatherman seterusnya dengan menambah alatan gergaji yang mana kekuatannya
hampir sama dengan gergaji besar,” katanya.
“Pasti saya rasa terharu apabila cadangan daripada surat pertama yang saya
kirimkan dulu, akhirnya direalisasikan bersama-sama model Leatherman yang kini
sebanyak 46 jenis dipasarkan di 82 buah negara,” katanya.
Leatherman, yang berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari University of
Oregon State, Amerika Syarikat datang ke Malaysia pada Febuari lepas turut
mengakui perkara tersebut kepada media tempatan.
Beliau memaklumkan tertarik dengan idea Mohd Noor dan memikirkan secara
serius idea tersebut sebelum membuat kajian dan prototaip sehinggalah berjaya
menambah gergaji mini pada gajet yang dihasilkan.

PERTEMUAN PERTAMA

Setelah sekian lama hanya berutus surat, pada 17 Feb lepas, Mohd Noor
berpeluang bertemu empat mata dengan Leatherman yang kebetulan datang ke
Malaysia atas urusan perniagaan.
Beliau dijemput Leatherman dan isterinya, Chau Leatherman yang berasal dari
Vietnam secara peribadi untuk makan malam secara tertutup di sebuah hotel di ibu
negara.
“Melihat beliau secara personal sangat mengejutkan, kerana beliau seorang
yang sangat ringkas, malah ada yang menyangka beliau adalah pelancong kerana
pakaiannya seperti “back packers”.
“Saya menggambarkan beliau sebagai seorang Pengerusi syarikat antarabangsa
yang terkenal, tentunya mempunyai perwatakan seperti tokoh koporat yang biasa
kita lihat, namun dia sebaliknya,” katanya tersenyum.
Selain kurang berkata-kata, beliau seorang yang sangat menghormati orang
lain dan cukup merendah diri, ujarnya yang turut membawa isterinya, Norsiah
Hashim dalam pertemuan tersebut.
Walaupun tidak banyak yang dibualkan pada pertemuan pertama itu namun cukup
memberi makna buat diri Mohd Noor dan ahli keluarganya yang mengikuti perjalanan
persahabatan mereka.
“Saya kongsikan pengalaman ini kerana percaya tidak ramai mereka yang
terlibat dan berjaya dalam bidang perniagaan mempunyai sikap seperti Leatherman,
yang menghargai dan menerima baik cadangan dan kritikan yang diberikan oleh
pengguna produknya.
“Perkara yang baik patut kita jadikan contoh kerana ia tidak merugikan,”
katanya mengakhiri perbualan.
— BERNAMA