-bicara-lara-jiwa-kurnia-

Monthly Archives: January 2011

Sudah 25 hari  ,  tirai 2011 dibuka. Terlalu pantas masa berlalu. Bermakna tahun ini saya akan melangkah ke usia 36 tahun. Bukan soal usia yang ingin dikongsikan, tetapi mengenai masa yang terlalu mencemburui . Tahun 2011 adalah tahun yang paling sibuk dalam hidup saya , pertamanya kerana anak sulung saya, Aina Karmila atau dipanggil kakak mula melangkah ke tahun 1. Seperti biasa, tika anak mula melangkah ke alam persekolahan ibu bapa lah yang paling sibuk, paling risau dan macam-macam perasaan yang ada.  Saya dah laluinya… jujur cakap, memang sukar nak lepaskan anak ke fasa tersebut dalam dunia barunya . Macam-macam yang bermain difikiran, boleh ke dia bergaul bersama  kawan-kawan baru , boleh ke dia berdikari, bagaimana nanti pergaulan dia  dan sebagainya… sampai kecut perut dibuatnya dan kalau boleh saya mahu turut serta dalam alam barunya itu….   Hari pertama persekolahan,  saya menghantarnya ke sekolah di Sek Kebangsaan Seri Anggerik, di Taman Len Seng.  Alhamdulillah,  kakak  tidak ada masalah untuk bangun pagi. Sekali kejut je, dia terus bangun dan bersiap. Mungkin  teruja dengan uniform sekolah  dan kasut baru. Sesi perhimpunan pagi, dia  sudah boleh menyesuaikan diri. Babahnya juga datang pagi tu untuk melihat kakak di hari pertama persekolahan.  Setelah masuk ke kelas dan setengah jam kemudian, saya meninggalkan sekolah. Memang saya tak mahu menunggu dia hari ini,  saya mahu kakak  berdikari,  belajar untuk hidup.  Balik pada hari pertama persekolahan,  dia sudah saya ajar untuk naik van. Menurut Mr A yang monitor Aina dari jauh memberitahu,  kakak menangis masa nak balik kerana takut tak jumpa van.   Perasaan bagai direntap bila mengetahui perkara tersebut tapi cepat2 memujuk hati bahawa ini adalah proses pembelajaran buatnya. Hari kedua persekolahan saya tidak lagi penghantarnya seperti hari pertama, saya hanya menemaninya di bawah rumah  sampai van datang ambil dan begitulah rutin seterusnya sehinggalah hari ini….Alhamdulillah setelah tiga minggu berlalu, saya semakin biasa dengan jadual baru. Pukul lima pagi saya harus bangun untuk siapkan bekalan Aina ke sekolah. Biarlah saya berkorban masa sedikit untuk siapkan semuanya, asalkan dia tidak perlu beratur panjang bagi mendapatkan makanan di kantin yang pastinya akan mengambil masa yang lama. Pukul 6 pagi saya akan kejutkan kakak untuk bersiap ke sekolah dan pukul 6.20 pagi dia akan menaiki van ke sekolah. Pukul 1 petang, habis persekolahan kakak akan  berada di taska sambil bersiap untuk ke sekolah kafa pula sampai 5.15 petang dan kembali ke taska sebelum  saya ataupun Mr A mengambilnya untuk dibawa pulang. Mamang setiap masa teramat padat , kerana tepat pukul 10 malam mereka harus masuk tidur  dan bersedia untuk menghadapi hari seterusnya. Bigitulah rutin kehidupan kami. Memang memenatkan namun saya amat berpuas hati kerana sedaya mungkin memberi yang terbaik semampu yang boleh untuk mereka. Sekurang-kurangnya dengan kesibukan ini, dapat melupakan seketika hal yang bersangkut paut dengan perasaan, jiwa, kekosongan dan sebagainya. Itulah juga yang menjadi azam saya tahun ini. Saya mahu menjalani kehidupan ini dengan penuh semangat , menikmati setiap saat yang  terluang bersama permata hati  tercinta,  kerana mereka adalah kekuatan dan jiwa yang bersatu untuk meniupkan semangat untuk kaki saya melangkah. Semoga makin jauh  kaki ini melangkah , makin  jauh juga saya dapat melupakan segala  kepahitan 2010….!!!!  ameeeeeeeennnnn..